Bosan & Malas Di Jalan Dakwah

Keadaan ini menimpa jiwa sesetengah kita dan ia berpunca dari pelbagai sebab yang antaranya keletihan jiwa, jiwa dipengaruhi maksiat sekelilingnya, jiwa yang melupakan akhirat dan tidak mengingati mati, tidak jelas matlamat dakwah dilakukannya, tidak yakin amal-amal ikhwani yang dapat mencapai kejayaan dan lain-lain. Cara mengatasi apa yang berlaku adalah berbeza antara satu sama lain disebabkan berbezanya punca futur yang berlaku antaranya:

 

1-Menyerah diri sepenuhnya kepada Allah dengan penuh kehinaan, mengharap dan bertadharru’ padaNya. Ini kerana keadaan tersebut adalah keadaan dia bersujud kepada Allah memohon dihidupkan hatinya dengan iman dan tetap kekal di jalan dakwah. Dia hendaklah mengulanginya siang dan malam.

2-Sentiasa mengingati mati dan berfikir tentangnya serta mengenang (bersyukur) nikmat Allah kepadanya, iaitu menjadikan salah seorang anggota yang bekerja dalam jamaah. Ini kerana beramal untuk dakwah melalui jamaah menjadikannya salah seorang pengikut Rasulullah saw dan sebagai pencinta keredhaan Allah. 

3-Bosan, malas, rimas dan futur kadang-kadang disebabkan oleh syaitan berjaya meracuni hati anggota. Ini kerana syaitan seperti pencuri yang sentiasa berlegar di sekitar hati mukmin yang menyeru kepada Islam. Syaitan sentiasa cari peluang mencuri iman atau mencacatkannya, yang menyebabkan anggota tersebut duduk sahaja tanpa bekerja untuk dakwah. Apabila futur, maka ketahuilah bahawa itu datangnya dari syaitan dan hendaklah menghadapinya dengan segera beramal.

 

4-Apabila seorang anggota ditimpa perasaan bosan dan futur, maka dia hendahlah menjaga mulutnya dan menyibukkan diri dengan berzikir kepada Allah. Ini kerana syaitan kadangkala mengesanya supaya bercakap bohong untuk memberi alasan terhadap bosan dan futur yang menimpanya disebabkan jamaah sendiri, tindakan jemaah yang tidak betul, strategi lemah dan lain-lain. Dengan itu anggota membuka mulutnya yang boleh menjerumuskannya ke dalam dosa, hati keras dan proses pengubatan yang sukar.

5-Apabila seseorang anggota ditimpa perasaan bosan dan futur, maka dia hendaklah bersegera melakukan amal-amal yang boleh meningkatkan ketaqwaannya seperti menghafaz al-Quran, solat sunat beberapa rakaat secara bersendirian di rumahnya, memberi makanan kepada orang-orang fakir, berada bersama-sama orang saleh dan berbincang dengannya atau menziarahi anggota yang beristiqamah, aktif dan thabat. Ini kerana jiwa akan terkesan dengan amal-amal kebaikan tersebut, terkesan dengan tindakannya duduk bersama dengan orang soleh, dan ziarah yang dilakukan. Dengan itu dia akan mula aktif dan merasai kelegaan.

 

Comments are closed.